Sunday 1 April 2012

lemah lembut: bukan sekadar fitrah





Lemah lembut adalah akhlak yang mulia yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada hambaNya. Oleh itu, adalah sangat beruntung bagi orang yang memiliki sifat yang mulia itu. Namun, adakah bermakna, seseorang yang pada fitrah dan semula jadinya dilahirkan sebagai seorang yang bersifat kasar atau kurang lemah lembutnya, tergolong dalam golongan yang rugi? Adakah mereka rugi kerana tidak dikurniakan kelembutan itu? Sekali-kali tidak. Bukankah setiap sifat yang dicipta oleh Allah s.w.t itu ada hikmah dan rahsia di sebaliknya?

Islam itu adalah kelembutan

            Sifat lemah lembut sangat sinonim dengan insan yang bergelar wanita. Tetapi, tidak semua wanita memiliki sifat kelembutan itu, kerana sifat itu bukan hanya khusus untuk wanita. Kelembutan yang fitrah dan semulajadi hanya kurniaan Allah s.w.t kepada hambaNya yang tertentu sahaja. Tetapi itu tidak penting. Sifat lemah lembut yang sebenarnya hadir dari hati yang suci dan fitrah yang bersih. Islam amat menggalakkan kelembutan dalam pergaulan sesama manusia, lebih-lebih lagi apabila ingin menyampaikan kebaikan kepada manusia. Allah berfirman dalam surah Taha, ayat 44 yang bermaksud:

“maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia beringat dan takut”

            Allah s.w.t menggalakkan kelembutan, walaupun dengan seorang yang sekeras-keras hati seperti Firaun. Kerana bicara kata yang lemah lembut itu hadir dari hati yang ikhlas dan akan memberi kesan kepada hati juga.

Rasulullah s.a.w sebagai qudwah hasanah

Muhammad Bin Abdullah dilahirkan tanpa mendapat kasih sayang seorang ayah. Kasih ibu pula diragut saat baginda masih baru belajar tentang kehidupan. Jika dikoreksi semula lembaran sejarah hidup baginda, pasti sukar untuk mempercayai baginda lah selembut-lembut manusia. Dilahirkan tanpa kasih sayang yang cukup dari seorang ibu  dan ayah pastinya mengajar baginda tentang kecekalan dan ketabahan dalam kehidupan. Pada diri baginda, kecekalan dan ketabahan itu dipamerkan dengan sifat lemah lembut pada zahirnya. Wah, Indahnya.

Suatu ketika, seorang pemuda datang kepada Rasulullah s.a.w untuk meminta izin daripada baginda untuk berzina. Kisah ini diriwayatkan oleh Abi Umamah. Pemuda itu berkata kepada Rasulullah s.a.w:
“Ya Rasulullah, izin aku untuk berzina”.

Maka orang ramai pun berpaling kepadanya sambil menahannya, dan mereka berkata: “Jangan..jangan (berhentilah kamu dari berkata sebegitu)”,
Maka telah berkata (Rasulullah s.a.w:: “bawakan dia dekat denganku”. Maka pemuda itu telah mendekati baginda s.a.w.
(Abu Umamah) berkata: maka (pemuda itu) telah duduk (dekat dengan Rasulullah s.a.w)

Rasulullah mula bersabda: “Adakah kamu suka itu (perbuatan zina) terjadi kepada ibumu?” Lantas pemuda itu menjawab: “Demi Allah, tidak! (Aku lebih sanggup) Allah jadikan aku tebusan (kematianku) bagimu!”
Rasulullah s.a.w menyambung: “(Begitu jugalah halnya) orang ramai tidak suka hal itu (terjadi) kepada ibu-ibu mereka”.

Rasulullah s.a.w bersabda lagi: “Adakah kamu suka itu (perbuatan zina) terjadi kepada anak perempuanmu?” Lantas pemuda itu menjawab: “Demi Allah, tidak! (Aku lebih sanggup) Allah jadikan aku tebusan (kematianku) bagimu!”
Rasulullah s.a.w menyambung: “(Begitu jugalah halnya) orang ramai tidak suka hal itu (terjadi) kepada anak-anak perempuan mereka”.

Rasulullah s.a.w bersabda lagi: “Adakah kamu suka itu (perbuatan zina) terjadi kepada saudara perempuanmu?” Lantas pemuda itu menjawab: “Demi Allah, tidak! (Aku lebih sanggup) Allah jadikan aku tebusan (kematianku) bagimu!”
Rasulullah s.a.w menyambung: “(Begitu jugalah halnya) orang ramai tidak suka hal itu (terjadi) kepada saudara-saudara perempuan mereka”.

Rasulullah s.a.w bersabda lagi: “Adakah kamu suka itu (perbuatan zina) terjadi kepada emak saudaramu (sebelah ayah)?” Lantas pemuda itu menjawab: “Demi Allah, tidak! (Aku lebih sanggup) Allah jadikan aku tebusan (kematianku) bagimu!”
Rasulullah s.a.w menyambung: “(Begitu jugalah halnya) orang ramai tidak suka hal itu (terjadi) kepada emak-emak saudara (sebelah ayah) mereka”.

Rasulullah s.a.w bersabda lagi: “Adakah kamu suka itu (perbuatan zina) terjadi kepada emak saudaramu (sebelah ibu)?” Lantas pemuda itu menjawab: “Demi Allah, tidak! (Aku lebih sanggup) Allah jadikan aku tebusan (kematianku) bagimu!”
Rasulullah s.a.w menyambung: “(Begitu jugalah halnya) orang ramai tidak suka hal itu (terjadi) kepada emak-emak saudara (sebelah ibu) mereka”.

Abu Umamah berkata: Maka Rasulullah s.a.w meletakkan tangannya di atas pemuda itu, lalu berdoa:
“ALLAHUMMAGHFIR ZANBAHU, WA TOHHIR QALBAHU, WA HASSIN FARJAHU”
“Ya Allah ampunkanlah dosanya, bersihkanlah/sucikanlah hatinya (dari memikirkan sesuatu maksiat) dan jagalah kemaluannya (dari melakukan zina)”
Selepas itu pemuda itu tidak lagi memandang sesuatu (yang berrpa maksiat (terutama zina), natijah maqbulnya doa Nasi s.a.w.
(HR Ahmad 5/256-257, Dinilai sahih oleh Al-Albani dalam kitab Al-Silsilah Al-Sahihah 1/645)

Kisah ini membuktikan kelembutan Rasulullah s.a.w dalam tutur kata baginda saat menerangkan kebenaran kepada umat baginda. Di saat sahabat-sahabat mencerca pemuda itu kerana mengajukan soalan tersebut, baginda tidak marah atau turut mencerca, bahkan menerangkan kebenaran kepada pemuda itu dengan lembutnya, kerana baginda amat memahami, umatnya memerlukan penerngan yang jelas serta kelembutan dalam mengespresikannya.

Para sahabat sebagai contoh teladan

          Sifat kelembutan para sahabat Rasulullah s.a.w membuktikan peribadi lemah lembut yang dimiliki oleh baginda memberi kesan yang cukup mendalam terhadap insan disamping baginda. Kita juga perlu mengambil contoh keperibadian para sahabat ini.

Di  dalam riwayat pernah diceritakan, Abu Zar r.a memanggil Bilal r.a dengan gelaran "wahai anak hitam". Bilal r.a yang mendengar panggilan tersebut terdiam dan tidak membalas panggilan Abu Zar r.a itu. Dengan rasa kesal Bilal lantas pergi bertemu Rasulullah s.a.w untuk mengadukan hal tersebut. Tiba di rumah Rasulullah s.a.w, Bilal r.a meluahkan isi hatinya kepada Rasulullah. Seketika sahaja, berubah wajah Rasulullah menjadi merah padam. Rasulullah terus ke tempat Abu Zar berada, tetapi hanya lalu sahaja. Rasulullah terus ke masjid.

Mengetahui bahawa Rasulullah marah padanya, lalu Abu Zar memberi salam kepada Rasulullah. Rasulullah berkata kepadanya "Wahai Abu Zar, kamu telah menghina Bilal dan menghina asal usulnya. Ketahuilah Abu Zar, sesungguhnya kamu asal usulnya adalah orang jahiliyah sebelum masuk islam, dan sesungguhnya dalam diri kamu masih ada sisa jahiliyah".

Abu Zar merasa terpukul dan sangat menyesal. Abu Zar menangis dan merayu kepada Rasulullah: "Wahai Rasulullah, maafkan kesalahanku dan pintalah Allah ampunan atas dosaku..."

Lalu Abu Zar berlari mendapatkan Bilal r.a, Abu Zar merangkul Bilal sambil memohon maaf padanya. Tidak cukup dengan itu, Abu Zar meletakkan kepalanya di atas tanah seraya berkata: "Demi Allah wahai Bilal aku tidak akan angkat pipiku dari atas tanah kecuali kamu injak pipiku yang sebelah lagi dengan kakimu. Demi Allah sesungguhnya kamu orang terhormat dan aku yang terhina".

Bilal kemudiannya mendekatkan mukanya ke pipi Abu Zar lalu menciumnya berkali-kali. Kemudian diangkatnya dari tanah. Mereka berdua berpelukan dengan penuh kasih sayang dan tangisan.

          Lihat ukhuwah yang etrjalin dan nilai akhlak pad aBilal r.a dan Abu Zar r.a. Bukan hanya betapa merendah diri Abu Zar r.a memohon kemaafan, bahkan betapa mulia dan kasihnya Bilal r.a, walaupun diperlakukan sebegitu, atas rasa kasih dan sayang pada Abu Zar, Bilal memaafkannya. Betapa lembutnya hati Abu Zar yang segera memohon maaf apabila menyedari dirinya telah menyakiti hati seorang sahabat., dan Bilal terus memaafkan sahabatnyaitu dengan penuh ikhlas. Tiada ketulusan dalam keikhlasan tanpa adanya kelembutan.

Kesimpulan

         Tanpa kelembutan yang dimiliki oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda, mustahil agama islam yang suci ini sampai kepada kita. Justeru, jadikanlah mereka sebagai qudwah hasanah dalam segenap aspek kehidupan kita.

         Sifat seorang muslim yang lemah lembut itu hadir dari hati yang tulus dan suci. Sebagai muslim, kita perlu menyucikan jiwa agar bersedia untuk menggalas tugas sebagai daie, kerana tarbiyyah ruhiyyah itu adalah sentuhan dari hati ke hati. Dan pastinya, dari hati yang lembut dan suci.

<feedback Qiam Bidadari Dunia>

No comments:

Post a Comment