“Hang
tau dak, ustaz aku selalu pesan kataku macam-macam. Haritu sebelum aku mai
jordan kan, ustaz aku pesan, setiap hari kamu infakkanlah sesuatu. Sebelum kamu
pergi ke jordan, kamu tanam satu pokok, nanti, semua burung yang makan buah tu,
semua sarang-sarang kat pokok tu, dapat pahala ke kamu kat jordan.” Shuib
bersemangat.
Helmi
kagum mendengar pesanan itu. Dari sekecil-kecil perkara, boleh mendatangkan
cukup banyak kelebihan. Bukankah Allah sudah menjanjikan bahawa kebaikan
sebesar zarah pun akan dikira, begitu jua kejahatan sebesar zarah pun turut
dihisab. Patutlah selama dia bersahabat dengan Shuib di Jordan ini, setiap hari
pasti dia melihat Shuib mensedekahkan sesuatu. Kalau dia bawa makanan dikongsi
bersama, jika ada lebihan wang walaupun 20 Qirsh (0.8 sen) pun akan
disedekahkan. Di Jordan, 20 Qirsh dah boleh beli sekeping roti.
Pagi
itu, suhu 19’ darjah. Helmi sudah biasa, tidak sejuk pun baginya. Dia berjalan
dengan penuh semangat menuju ke perpustakaan selepas kelas Histologi tamat.
Tiba-tiba, pesanan semalam menerpa mindanya. Helmi memperlahankan langkah.
‘Aku bawa duit cukup-cukup nak bayar
tambang balik. Makanan, aku tak bawa bekal pula.’
Helmi
bermonolog. Memikirkan satu rahmat Tuhan yang mungkin akan terlepas dengan tidak bersedekah pada hari itu membuatkan
Helmi sedikit kecewa dengan dirinya padahal dia sudah sungguh-sungguh ingin
mencari rahmat Allah yang terselit di celah-celah amalan.
Helmi
mengambil tempat yang agak tersorok di perpustakaan. Selang dua buah meja besar
darinya terdapat dua orang penuntut Jordan University of Science and Technology
sama sepertinya, yang berbangsa arab. Helmi membuka zip begnya lalu dicapai
botol 1.5 liter berisi air mineral. Satu kebiasaannya setelah 5 tahun
bersekolah menengah di kawasan yang dimonopoli oleh orang cina, Helmi terdidik
untuk mencontohi mereka dengan membawa bekalan air yang banyak ke mana sahaja.
Bukankah 60% dari berat badan kita terdiri daripada air?
Helmi
mengikut sunnah. Dibaca Bismillah, dilihat air itu untuk memastikannya bebas
dari bendasing, meneguk sebanyak tiga kali,duduk dan tidak bernafas dalam air,
dan mengucapkan Alhamdulillah. Helmi meletakkan botol itu di hujung
meja dan bersiap untuk menelaah mata pelajaran Anatomi. Baru 2 minit
buku dibuka, salah seorang pelajar arab tadi datang mendekati meja Helmi.
“ Could I have some water, please?”
Melihat warga asing, pelajar arab itu terus berbahasa Inggeris.
“Syukran.” Pelajar itu mengembalikan
kepada tuannya.
“Mush musykileh. Hala’ (Tiada masalah,
awak sebahagian ahliku)” Bahasa ammi (pasar) jordan menjadi perantaraan. Mereka
berbalas senyuman. Helmi terdiam. Botol air itu ditenung dalam. Masih tidak
percaya dengan apa yang baru berlaku. Air minuman bekalan yang dibawa itu, air
minuman yang langsung tidak difikirkan boleh dijadikan sedekah itu dikongsi
bersama.
Memang jika kita ikhlas, Allah akan
membantu.
Memang jika kita ikhlas kerana Allah,
sesuatu yang kita fikirkan tiada, Allah akan adakan.
Semoga hari itu, Helmi terpilih dalam
kalangan hamba yang Allah kurniakan rahmat.
<karya ukhtie, Wan Ajeerah>
No comments:
Post a Comment