Monday 2 April 2012

teguran di juvana


“Nur Amirah Ahmad Muhaimin, awak ada pelawat.”
Aku menggaru-garu tangan yang berkudis. Sebulan di sini, aku sudah biasa dengan persekitaran yang kotor sampai terkena jangkitan kudis. Tudungku aku betulkan sedikit. Pegawai penjara membuka jel sambil menggerakkan kepala sebagai arahan untuk keluar menemui tetamuku. Baru sahaja kaki aku melangkah setapak, mataku menangkap susuk seorang insan.Tetamuku. Aku sebak, dan terus menangis.

13 Januari 2009
“Assalamualaikum, saya Nur Amirah Binti Ahmad Muhaimin. Dari SMK Permatang. Asal Johor.”
Aku memperkenalkan diri pada malam pertama aku di sekolah baru, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Seri Permata. Sungguh, sejak petang tadi, saat kakiku mula melangkah ke sekolah ini, senyuman langsung tidak lekang dari wajahku. Melihat pintu gerbangnya yang gah sahaja sudah membuatkan hatiku berbunga. Apatah lagi apabila melihat taman-tamannya, bangunan yang dicat dengan warna yang menarik, keadaan sekolah yang kondusif dan dilengkapi prasarana sesuai untuk penggunaan pelajar sekolah menengah memang membuatkan aku menjadi kagum. Sekolah baruku itu sangat berbeza jika dibandingkan dengan sekolah lamaku yang dikelilingi kampung, sungai, dan kebun getah. Macam langit dengan bumi. Mungkin lebih jauh bandingannya. Ibarat langit yang ketujuh dengan lapisan bumi yang paling dalam.
20 orang pelajar perempuan baru telah mendaftar bersama-samaku di sekolah itu dan malam itu merupakan sesi ta’aruf. Wajah semua pelajar bercahaya untuk memberi penampilan pertama yang menarik. Kami semua memperkenalkan diri dengan penuh yakin tetapi malu-malu.Selesai sahaja pelajar terakhir memperkenalkan diri, ‘Chborr!!!’. Kami disimbah dengan air bekas basuhan baju. Entah dari mana air itu datang aku pun tidak tahu. Pada waktu itu yang aku ingat hanyalah rasa sejuk dan pedih apabila air bersabun itu memasuki mataku dan tak lupa jugahilaian ketawa kakak –kakak senior melihat gelagat kami yang terkejut dipermainkan. Semua pelajar baru yang lain menjerit-jerit kemarahan.
“Apa ni akak?!”
“Eh!Sejukla! Nanti saya laporkan hal ni!”
Tapi kami langsung tidak dihirau. Selepas itu, kami dibaling pula dengan telur dan tepung. Bertubi-tubi. Kami cuba melarikan diri tetapi kami dikepung. Ketawa, tohmahan, amaran serta peringatan agar kami mengikut segala arahan senior bergema dalam telingaku. Berulang-ulang. Malam itu masih segar lagi dalam ingatanku kerana disitulah titik bermulanya yang membawa kepada pengakhiran aku sekarang.
Dalam 10 minit kami dipermainkan seperti boneka, barulah senior semua menghentikan agenda orang yang cetek ilmu itu. Aku melangkah longlai menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Tapi, mereka lebih cepat. Bilik air di setiap tingkat sudah mereka kunci. Mataku bergenang. Aku lebih rela terbenam dalam lapisan bumi yang lebih dalam daripada tinggal di atas langit tertinggi tetapi hanyalah indah khabar dari rupa. Malam itu, kami semua tidur dalam keadaan berbau hanyir telur, melekit dengan tepung dan pakaian yang basah. Sampai sekarang aku masih lagi terngiang-ngiang suara sahabat-sahabatku yang menangis teresak-esak sambil menyatakan penyesalan mereka dan ingin keluar dari neraka jahanam itu. Baru hari pertama. Aku tidak pasti apa yang aku rasakan.Sedih,menyesal,geram,marah.penat.


13 April 2009
Aku menyentel lantai tandas sekuat hati aku. Minggu orientasi dah berlalu begitu jua minggu membuli. Aku dah boleh menyesuaikan diri dengan keadaan di sini. Tetapi fenomena yang membuatkan aku tertanya-tanya sampai sekarang, bagaimana manusia di sini bleh hidup dalam kepura-puraan. Mengapa aku bertanya begini?Sebulan selepas kami dibuli, keadaan berubah seratus peratus. Senior melayan kami dengan penuh kelembutan, prihatin dan ‘kasih sayang’. Apabila aku membuka hal malam kami dibuli itu, bukan sahaja senior-senior tersebut malah sahabat-sahabatku jua bagaikan sudah terkena sihir. Mereka bertanyakan kepadaku kembali, “malam kena buli?” “Malam yang mana ni?”...tidakkah pelik? Aku pun hanya mendiamkan diri sahaja, entah budaya apa yang diwujudkan disini.
Kain yang aku guna untuk menyentel aku perah ke dalam baldi. Aku bingkas bangun dan berdiri sambil meregangkan badan.Selesai sudah tugas aku mencuci tandas. Hari itu hujung  minggu, ramai yang pergi ke sekolah untuk mengulangkaji pelajaran jadi asrama itu sunyi. Aku berjalan melalui kamar Suria, kamar bersebelahan dengan kamarku, kamar Cendana. Dalam kesunyian itu, tiba-tiba telingaku menangkap namaku disebut. Aku menghentikan langkahku dan mendengar dengan lebih khusyuk. Suara itu datang dari dalam kamar Suria.
“Alah, minah tu  belagak baik je. Sini bandar la, perempuan kampung memang bukan tempat kat sini.”
“Aku pun sebenarnya tak sukala dengan Amirah tu.Memang dia suka buat baik kau tahu.Kononnya dia tu malaikat. Pernah sekali aku terpijak kain yang dia baru basuh, tapi dia tak marah pun.Yalah tu, padahal aku nampak ja muka dia dah merah padam. Mesti lepas tu dia kutuk aku kat belakang punya.”
Aku terdiam, kenapa niatku disalah anggap?

13 Mei 2009
Berbulan-bulan di sekolah baru, percaya atau tidak, aku tidak mampu membuat kawan walaupun seorang. Semua orang menjauhi aku selepas virus khabar angin tentang aku yang ‘talam dua muka’ disebarkan. Sampai sekarang aku tidak tahu apa tujuan aku dijadikan bahan untuk mereka bergosip, dipermainkan. Tetapi, kini aku sudah lali. Aku melupakan perasaaan terasingku ini dengan bertapa di perpustakaan, di bahagian yang orang tidak perasan, hinggalah pada tarikh keramat ini, hidup aku berubah.
“Assalamualaikum, Amirah, awak di sini rupanya.” Aku disergah Cikgu Kaunseling kami, Cikgu Safiah.
Aku menyesat mata, kepalaku yang hampir terlentok tadi terus tegak,ngantukku yang mendodoi tadi juga sudah hilang. Di ceruk antara dua buah almari buku usang, tempat aku bertapa, cikgu Safiah menemui aku.Aku bingkas bangun.
“Nasib baik cikgu jumpa awak. Ermm, cikgu cakap terus la ya. Sebenarnya cikgu dah daftarkan nama awak untuk kuiz sastera peringkat daerah untuk dua bulan akan datang. Cikgu selalu nampak awak datang perpustakaan dan dudukdi bahagian sastera, jadi cikgu rasa awaklah calon yang paling sesuai.”Cikgu Safiah tersenyum.
“Cikgu faham awak terkejut. Tiba-tiba sahaja kan? Tapi ini peluang untuk awak.”Cikgu Safiah menambah.
Aku terlopong. Aku tidak dapat fikirkan apa-apa. Mengiyakan tidak, menafikan pun tidak tawaran cikgu itu. Siapa tahu, sejak dari itu, hidup aku akan berubah. Dari hitam ke putih. Tetapi putih itu aku cemari.


13 Jun 2009
Aku sujud syukur atas rezeki yang Allah curahkan. Aku pun makin rajin menelek majalah-majalah lama untuk meningkatkan pengetahuan aku mengenai sastera. Namun, aku tidak pernah melupakan tanggungjawabku pada Yang Maha Esa. Ukhuwwah?Entah, aku langsung tidak hiraukan. Aku bahagia sendiri. Cikgu Safiah pun banyak memberi tunjuk ajar kepadaku. Aku masih ingat dalam waktu aku mengkaji bersama cikgu Safiah, cikgu ada mengutarakan satu soalan kepadaku.Soalan yang aku sudah lupa jawapannya kerana sudah lama aku tidak ditanyakan sebegitu.
“ Mak ayah Amirah apa khabar?”. Tanganku terhenti daripada menulis nota tentang biografi Usman Awang.Aku merenung kearah buku nota tetapi pandangan ku tembus.Mindaku kelam.
“Mak ayah saya meninggal masa saya umur 7 tahun”.Aku menjawab tanpa melihat kearah cikgu.Cikgu seakan mengerti lalu menamatkan pertanyaannya setakat itu.Aku sambung menulis tetapi fikiranku melayang kepada kedua orang tuaku.Aku tahu kemalangan yang meragut nyawa mereka namun tidak aku ingat dan aku tidak mahu ingat pun ditirnya.Selepas itu, aku dibesarkan oleh mak ngah ku.Meskipun aku tidaklah didera dan sebagainya malah kebajikanku cukup belaka, tapi aku dilayan dengan jelas dan nyata bukanlah sebagai seorang anak.Aku tidak pernah dibelai walau sekali.Selepas aku masuk asrama sekolah menengah, memang jarang sekali aku pulang ke rumah. Kadang-kadang aku menumpang di rumah Asiyah,kawan baikku di sekolah lama untuk cuti panjang. Tiba-tiba aku tersentak.
Asiyah, apa khabarmu? Sejak masuk sekolah baru, tidak pernah aku menghubunginya. Bagi aku, tiada apa lagi yang tinggal untukku di kampung lama. Mak ngahku pun tidak pernah menghubungiku.
Mak, ayah, sesungguhnya, aku sudah terlupa akan wajah kalian.
Aku beristighfar sambil mengemas barang-barangku dan berlalu pergi dari perpustakaan.Fokusku sudah hilang untuk menelaah. Cikgu Safiah terpinga-pinga melihat kelakuanku, tetapi seakannya dia memahami kerana dia biarkan sahaja.

13 Julai 2009
Seminggu pertandingan kuiz sastera sudah berlalu, Alhamdulillah aku merangkul juara sekaligus melayakkanku untuk mewakili daerah ke peringkat negeri pula. Sejak itu, satu persatu peluang dan rezeki menyapaku. Masih terngiang-ngiang kemanisan doa solat dhuha:
‘Ya Allah, andai rezekiku masih di langit, turunkanlah, jika di dalam bumi keluarkanlah, jika jauh dekatkan, jika haram sucikanlah dan jika susah Kau mudahkanlah’
Aku ditawarkan untuk terlibat dalam satu persembahan teater sebagai penulis skrip dan juga pelakon watak utama. Seiring dengan perjalanan latihan teater, persediaan kuiz sastera, aku juga diberi tanggungjawab untuk memimpin pasukan bahasa bermadah. Subhanallah, Allah mengujiku dengan pelbagai aktiviti dunia. Memang, bukan mudah untuk aku mengimbangkan antara akademik dan kurikulum tetapi aku bersyukur kerana keputusan aku dalam ujian yang lepas memuaskan. Kini aku juga perlu fokus untuk ujianpertengahan tahun yang lebih banyak bahan untuk ditelaah.
Peristiwa-peristiwa yang mengombak memukul pantai jasmaniku datang tanpa diundang. Aku melihat hal ini dengan positif. Semakin ramai yang mendekatiku malah tidak keterlaluan jika aku mengatakan sampai ada yang sering berdamping denganku. Kerana popularitikah aku mula dilihat orang? Apa ketulusan dan kejujuran yang aku lampirkan selama ini kosong?

13 Ogos 2009
Aku tidak mampu merangkul juara kali ini. Kuiz sastera hanyalah naib johan.Bahasa bermadah tempat yang ketiga tetapi teater telah memberi hasil yang baik. Aku berjaya ke peringkat seterusnya dengan tema yang lebih payah.Sekali lagi, Allah mengujiku dengan nikmatnya. Aku ditawarkan posisi pengerusi kelab sastera, sebuah kelab yang baru ditubuhkan dan perlu banyak kertas kerja dan plan-plan tahunan sementara di pihak yang lain pula, aku ditawarkan posisi pengerusi sebuah kelab yang memang tersohor di sekolah itu, kelab memanah.
Sememangnya menjadi pengerusi kelab sastera bukan satu pilihan tetapi posisi di kelab memanah, cikgu memberi aku kata putus, kerana melihat keadaan aku yang terlalu banyak hal yang dipertanggungjawabkan, cikgu mengatakan bahawa jika aku rasa berat, boleh sahaja menjadi naib pengerusi. Entah mengapa, pada saat itu, aku menjadi tamak. Tidak mahu aku lepaskan jawatan tinggi.
Andai mampu aku memutarkan waktu, ingin aku menolak sekerasnya semua tawaran itu. Pada saat itu, aku memikul tanggungjawab bukan lagi kerana Allah, tetapi kerana dunia.
Aku tertanya-tanya, apakah masih bermakna amalku itu jika tidak disandarkan padaNya?
Kini, aku sedar tentang sesuatu. Berhati-hatilah menggunakan perkataan ‘kalau’. Berbisa. Mampu membuatkan kita berputus asa kerana terlalu mengharap boleh mengubah perkara yang sudah berlalu.

13 September 2009
Keputusan ujian aku terima dengan wajah yang puas. Meskipun tidaklah begitu tinggi namun cukup memuaskan. Sehingga itu, Allah masih mengasihi dan berbelas kasihan padaku, tetapi aku langsung tidak melihat kepada kasih sayang sejati itu.Pada hari ini, aku telah menggores parut dalam duniaku.
Kelas sejarah berakhir juga. Aku melepaskan keluhan berat. Selepas makan, aku perlu segera ke bilik mesyuarat untuk mempengerusikan mesyuarat kelab memanah. Kira-kira satu jam perjalanan mesyuarat,selepas segala usul telah dibentangkan, aku terus mengemas beg untuk ke perpustakaan.
“Akak nak ke surau ke?Boleh kita jalan sekali,lagipun dah masuk asar ni.” Dua orang ahli kelab memanah menyapaku sambil tersenyum.Aku terdiam.
“Akak nak ke perpustakaan.”Jawabku ringkas.
“Oh, akak nak study ke? Bagusnya…” Ahli kelab tadi menduga dan memang tepat pun jangkaannya.Ku hanya tersenyum dan berlalu pergi. Dalam hati dan fikiranku berfikir. ‘Nak ke surau ke….?’.Aku hanya melangkah perlahan. Tiba-tiba langkahku mati apabila aku mendengar namaku disebut dari dalam bilik mesyuarat. Kelibatku di balik pintu mungkin tidak disedari.
“Baguskan Kak Amirah tu. Ujian baru habis, keputusan dia pun memuaskan tapi dia sudah start study.Jealousnye aku dengan orang yang rajin macam tu.” Dua orang ahli kelab tadi sungguh-sungguh memujiku.Inilah kali pertama aku dipuji dan sungguh, aku dapat merasakan keikhlasan pujian itu.Hatiku berbunga. Aku meneruskan langkah ke perpustakaan dan kebetulan aku perlu melintasi surau.  Andai waktu dapat diputar, nescaya aku akan menoleh walau sekilas ke arah surau itu, moga-moga hatiku tertarik untuk masuk. Namun, realiti tidak semudah itu.Saat aku melalui surau, wajahku langsung tidak melihat kearah surau meskipun sebelah mata tidak aku jelingkan.
Matapelajaran sejarah berjaya aku baca setakat yang dipelajari tadi. Aku melihat jam. Sudah jam 6.30 petang. Tepat-tepat masa untuk makan malam. Aku mengemas dan menuju ke dewan asrama pula yang hanya 10 minit perjalanan dari sekolah. Allah masih berbelas padaku, rezeki dan nikmatNya padaku tidak putus-putus. Alangkah bongkaknya aku kerana tidak ingat untuk mengucapkan ‘Alhamdulillah’ cuma.
Usai makan, aku langsung ke kamar dan bersiap untuk mandi.Masuk sahaja ke bilik mandi, aku membuka shower.Air turun dengan perlahan. Selang dua tiga minit, terdengar laungan seruan memuji Allah Maha Besar, kalimah syahadah serta ajakan menunaikan solat dan menuju kejayaan.Aku merenung kosong ke dinding bilik air. Paip shower ku pulas lagi. Berhambur-hambur air keluar lalu tenggelamlah suara azan dek bunyi curahan air itu.
Pada waktu itu, siapa tahu, malaikat Atid telah mencatat amalan seorang hamba yang bongkak, dengan sengaja meninggalkan sujud kepada Penciptanya.

13 Oktober  2010
Sebulan aku hidup dengan mengabaikan solat. Aku menyibukkan diri dengan mesyuaratlah, latihanlah, study group. Macam-macam lagi. Tetapi, mungkin budaya di sekolah ini, apabila datang bab amal ibadat, kau kubur kau, aku kubur aku. Tiada siapa pun pernah menegur aku atau bertanyakan aku.Namun siapalah aku hendak menuding jari ke arah mereka sedangkan tiadalah teguran yang maha hebat selain dari teguran dari Allah.Berkali-kali ahli kamarku mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran tetapi tatkala itu jua aku mencapai earphone dan menyumbat telinga dengan hiburan-hiburan keduniaan.
Peperiksaan akhir tahun baru sahaja berakhir.Kini pelajar-pelajar di sekolah itu menghabiskan masa dengan hobi masing-masing.Di sinilah tibanya kemuncak sejarah hidupku.
Aku memotong kek jamuan akhir tahun kelas kami dengan cermat.Tiba-tiba dari sisiku, seseorang menghulurkan piring kosong minta diisi dengan kek.Aku mengangkat kepala untuk melihat siapakah gerangannya.Seorang jejaka yang aku kenal. Alif (bukan nama sebenar). Dia satu-satunya pelajar yang datang dari sekolah lamaku dan masuk ke sini.Aku hanya tersenyum.Jejaka inilah yang Asiyah amat segani. Aku meletakkan kek ke dalam piringnya tetapi, tanganku menggeletar.Kek itu terjatuh.Aku menjerit kecil.Alif  terkeluar juga ketawanya melihat gelagat aku. Semuanya berlalu dengan begitu pantas. Selepas beberapa dos suntikan syaitan,aku terus jadi asyik bersembang dengan Alif. Meskipun dia berkongsi hal-hal yang ilmiah tetapi fikiranku menterjemah kata-katanya seperti bait-bait puisi. Aku juga berkongsi sedikit sebanyak ilmu yang aku masih ingat sewaktu di sekolah lama dahulu. Sekadar menjadikan diriku setaraf dengannya. Alif mengakhiri perbualan kami dengan kata-kata yang aku masih ingat sampai sekarang.
“Bersyukurlah awak, Allah bagi macam-macam sangat kat awak. Untung awak.Semoga kita bersua lagi atas nama islam.” Alif berlalu pergi. Andainya waktu itu aku mengambil serius kata-kata Alif, andai waktu itu aku beringat untuk sujud syukur pada Allah, mungkin aku tidak akan terlibat dalam hal ini.

13 November 2009
Sudah dua minggu sejak cuti sekolah bermula. Aku kini menumpang rumah Mak Ngah. Kebetulan Mak ngah sekeluarga menetap di London untuk dua tahun jadi aku dibenarkan untuk tinggal di sana, kalau tidak, bermacam-macam alasan mak ngah akan beri  supaya aku tidak menjadi beban padanya.
Aku masih  teringatkan Alif. Tetapi itulah kali pertama dan terakhir aku berbual dengannya.Bagaikan mimpi, dia datang dalam hidupku.Jujur aku katakan, aku langsung tidak teringatkan Asiyah yang sungguh-sungguh menyatakan perasaannya terhadap Alif kepadaku dan memintaku agar mendiamkan hal ini kerana dia mahu letak tepi dahulu cinta manusia sebelum mampu menggenggam cinta Ilahi.
Aku merebahkan badan ke atas katil kemudian membuka komputer. Jari jemariku lincah menggerakkan tetikus ke arah laman web facebook dan  daftar masuk. Mataku tangkas membaca sebuah post dari individu yang tidak dikenali ke wall facebook aku.
‘VIDEO KONTROVERSI PENGERUSI DENGAN LELAKI MISTERI’
Aku tertarik untuk menekan link video itu.Tiba-tiba, sewaktu di pertengahan video, mataku terbelalak.Jantungku separuh berhenti. Nafasku turun naik. Tubuhku kaku namun mataku masih lagi menatap video itu.
Dalam video itu terdapat seorang lelaki dan perempuan yang sedang memulakan adegan tidak senonoh. Meskipun wajah mereka tidak jelas namun kamera fokus pada pakaian yang bertaburan di lantai dan salah satunya ialah sehelai tudung sekolah dengan tag namaku padanya. Kamera dihalakan pula ke arah pakaian lelaki.Aku tidak dapat mengenali siapakah jahanam yang melakukan perkara ini.Video itu aku ulang-ulang.Air mataku dengan sendirinya mengalir tidak putus-putus. Tiba-tiba, mataku dapat menangkap imej beg sekolah serta jam tangan di atas meja dalam video itu. Alif.

Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Aku mencapai telefon dan cuba menghubungi Alif. Kebetulan aku mendapat nombornya daripada teman rapat Alif.Dengan suara tersekat- sekat dek tangisanku yang laju tidak berhenti, aku meminta untuk berjumpa dengan Alif.Dia bersetuju untuk berjumpa denganku di belakang bangunan sekolah.
“ Apahal kau buat macam tu hah?!” Aku menengking Alif sebaik sahaja kami bertemu.Kemarahan, celaru, sedih.Perasaanku bercampur baur.Alif terpinga-pinga.Dia memintaku menjelaskan keadaan yang sebenar.Saat itu, aku sangat membenci melihat raut wajahnya. Manusia bertopengkan syaitan!
“ Kau dah jaja nama aku, sekarang kau nak buat-buat tak tahu? Pergi mampuslah binatang!”Herdikan aku lontarkan bertubi-tubi.Alif masih diam. Lelaki dan rasionalnya.Perempuan serta emosinya.Fitrah.
“Kau dengar sini! Aku tak tahu apa sebab kau buat macam tu, tapi kau tahu tak yang hal ni mengugat kedudukan aku? Segala yang aku miliki sekarang ni boleh lesap macam itu ja kalau satu dunia tahu tentang video tu. Padahal aku difitnah! Dan aku nak kau ingat ni, aku sanggup buat apa sahaja, apa sahaja asalkan segala yang aku miliki, jawatan, harapan, penghormatan kekal! Biarpun aku perlu membuat sesuatu yang tak masuk akal.Kalau perlu bunuh kau untuk kebaikan aku pun aku bunuh la!”Perkataan-perkataan itu lancar keluar dari mulutku.Aku terus berlalu meninggalkan Alif tanpa mendengar penjelasannya.Serabut.
Aku berjalan laju.Wajahku panas.Selang beberapa langkah aku dari perkarangan sekolah, telefonku berbunyi dan nombor Alif tertera di skrin.Aku menjawab panggilan itu meskipun hati masih membara.
“ Aku tahu siapa buat benda ni kat kau. Datang blok D kalau nak tahu.”Suara garau. Bukan Alif. Aku tidak sempat berfikir.Kakiku terus membuka langkah.Aku berlari ke blok D seperti diarahkan. Sampai di situ, aku hanya melihat Alif dalam sepuluh langkah dariku.Alif kelihatan pucat.Tidak seperti tadi.Dia berjalan perlahan ke arahku.Mulutnya bergerak-gerak seperti ingin katakan sesuatu.Tangannya didekatkan ke bahagian perut.Tiba-tiba Alif rebah.Sebilah pisau terbenam di bahagian belakang pinggang Alif.Darah banyak sekali.Aku meluru mendapatkan Alif tetapi aku sudah terlambat.Alif sudah tidak bernafas.Dari keadaan Alif, aku mengagak dia ditikam setelah aku meninggalkannya tadi.Aku menoleh ke semua arah mencari-cari kelibat dalang durjana yang sanggup melakukan hal itu. Namun, amat mengejutkan aku kerana segalanya bagai dirancang, tiba-tiba, sekumpulan pelajar sekolah  kamimuncul di situ dan terus menyaksikan keadaan tanganku yang berlumuran darah dan sekujur tubuh yang tidak bernyawa. Seorang pelajar perempuan menjerit ngeri dan yang lain menuding ke arahku sambil mengatakan ‘PEMBUNUH’. Aku terlopong.Fikiranku terhenti.Aku hanya mampu merenung ke arah tubuh kaku Alif.

13 Disember 2009
Aku menangis melihat Asiyah.Tetamuku.Satu-satunya insan yang masih ingat padaku sejak aku dimasukkan ke dalam penjara juvana atas kesalahan membunuh sahabatku, Alif.Bukti pertama yang menyebabkan aku dipenjarakan ialah adanya saksi yang mendengar aku mengugut membunuh Alif dan kemudian melihatku di tempat kejadian dalam keadaan yang pada zahirnya menunjukkan bahawa akulah pembunuhnya.Aku meluahkan kepada Asiyah kisah silamku semenjak aku berpindah sekolah hingga sekarang .Masa yang pendek tetapi memberi kesan jangka panjang.Selama sebulan di penjara, aku muhasabah diri, mengapa aku diuji begini.Allah menegurku kerana tidak ikhlas dalam beribadah.Aku tidak tahu sejak bila aku menjadi tidak ikhlas.Aku tidak tahu hendak bermula dari bahagian mana hidupku yang aku melakukan sesuatu bukan demi redhaNya.Aku mula mengimbau kembali lembaran hidupku.Saat-saat aku melihat solat, tutup aurat, jujur, ikhlas sebagai perkara yang ringan.Saat-saat aku tidak ikhlas dalam berkepimpinan, aku belajar agar dipandang sebagai seorang yang rajin, berkongsi ilmu dengan Alif dengan niat supaya dia tertarik denganku.Tidak terhitung rasanya dosa-dosaku.Asiyah menceritakan kepadaku bahawa dia yang meminta tolong kepada Alif untuk mendekatiku sebagai pengganti dirinya yang jauh kerana Asiyah sering mendengar perkara yang tidak baik tentangku.Begitulah, aku makin mengerti.Dunia memang fana. Di depan, aku disanjung, padahal mereka mengutukku di belakang. Namun, memang aku hamba terkutuk.Aku pasrah.Asiyah juga mengatakan bahawa Alif tidak tahu-menahu tentang video itu dan Alif telah menjadi mangsa keadaan.Dia difitnah kemudian dibunuh.Aku menangis lagi.Rasa bersalah menebal dalam jiwa.Aku menyumpah-nyumpah Alif sebelum pemergiannya. Maafkan aku Alif. Maafkan aku Asiyah.
Setakat ini lembaranku aku coretkan.Tidak pernah aku terlintas untuk membukukan kisahku namun sejarah kali ini aku rasa perlu dihitamputihkan buat pedoman semua.Sentiasalah melakukan sesuatu secara ikhlas kerana Allah. Percayalah, di saat Allah menegur kita atas sikap terlalu duniawi, kita akan mendapati terlalu banyak dosa yang kita lakukan hingga kita tidak tahu hendak mula dari mana. Bukankah sudah aku katakan, sesungguhnya tiada teguran sehebat teguran Allah.Aku menulis ini ketika meniti hidupku di penjara yang ku kira Allah jadikan tempat ini yang terbaik buatku agar aku kembali padaNya.Terima kasih Allah.
Masih banyak lagi persoalan-persoalan tergantung dalam mindaku. Apa budaya sebenar di sekolah baruku? Siapa yang membuat video itu?Macam mana sekumpulan pelajar tiba-tiba muncul di tempat kejadian?Yang paling ingin aku tahu, siapa yang bunuh Alif?Mengapa Alif dibunuh?Apakan daya, bukanlah aku pemilik rahsia dunia ini. Andai hal ini lebih baik aku tahu pasti Allah akan mudahkan jalan buatku untuk mengetahuinya. Dialah yang Maha Mengetahui apa yang nyata dan tersembunyi. Saat ini, aku sedang menunggu keputusan siasatan pihak polis tentang kes aku.Semoga Allah menjadikan hari esokku lebih baik dari hari ini.Amin.
<karya ukhtie, Wan Ajeerah>

2 comments: