Monday, 26 March 2012

Zakat: rahsia utama ekonomi islam



Kehidupan kita amat berkait rapat dengan ekonomi. Setiap hari, transaksi jual beli, contohnya, menjadi elemen utama dalam aktiviti harian dalam satu komuniti. Sama ada kita sedar atau pun tidak, transaksi jual beli yang kita jalankan itu memberi kesan kepada ekonomi sebenarnya. Ekonomi dunia masa kini masih di tahap yang tidak seimbang kerana pengagihannya yang tidak saksama lantaran pengamalan sistem yang tidak berlandaskan islam. Justeru, sekiranya kita sedar kita sebagai seorang islam, usaha untuk ke arah pengamalan islam secara syumulnya perlu kita gerakkan, kerana itulah tugas kita yang sebenarnya.

Hari ini, kita mampu mengecapi nikmat kehidupan yang sempurna, sama ada dari sudut keperluan asas, kehendak mahupun kesenangan hidup. Namun adakah kita sedar, bagaimana keadaan saudara kita yang lain, adakah mereka mampu merasai nikmat itu seperti mana yang kita rasai?

Ekonomi islam sebagai resolusi terbaik

Sesungguhnya agama di sisi Allah itu adalah islam. Justeru, apa yang digariskan di dalam islam adalah ketetapan dari Allah. Allah sudah menetapkan garis panduan kepada manusia untuk menjalankan kehidupan mereka, dan pastinya Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Islam menggariskan kewajipan membayar zakat untuk memastikan kesaksamaan dalam pembahagian ekonomi. Oleh itu, sekiranya zakat dilaksanakan dengan cara yang ditetapkan didalam islam, pastinya saudara-saudara kita dapat mengecapi kehidupan yang lebih sempurna, seperti mana kita.  

Pada zaman khalifah Abu Bakar As-siddiq, penentangan terhadap golongan yang enggan membayar zakat membuktikan bahawa pentingnya amalan zakat itu terhadap umat islam keseluruhannya. Tanpa zakat, hidup segolongan umat islam akan teraniaya dan di situlah kezaliman berlaku.

Semasa zaman kegemilangan islam pada zaman pemerintah khalifah Umar Bin Abdul Aziz, kita dapat lihat pelaksanaan ekonomi islam secara syumul. Pada waktu itu, tidak ada seorang pun yang layak menerima zakat kerana seluruh rakyatnya tiada kelayakan untuk menerima zakat, ini membuktikan kesaksamaan dalam pembahagian ekonomi. Suatu ketika, khalifah Umar melihat seorang tua yang bukan islam meminta sedekah, beliau bertanya kepada orang tua tersebut,

“mengapa kamu meminta sedekah?”

Jawab orang tua tersebut, “aku tidak ada duit. Masa aku muda dahulu, aku membayar jizyah untuk kerajaan islam, kini aku sudah tua dan tidak berkemampuan”

Sejurus itu, khalifah Umar Bin Abul Aziz mengarahkan baitulmal mengeluarkan semua bayaran jizyah yang pernah dibayar oleh orang kafir tersebut sepanjang hidupnya. Khalifah Umar berkata, “tidaklah adil kita mengambil wangnya ketika dia sihat dan membiarkannya ketika dia sudah tua.”

Zakat & Sedekah

Bagi kita sebagai pelajar, pastinya kita masih belum mampu untuk menunaikan zakat, bahkan kita tergolong dalam golongan yang layak menerima zakat. Sebagai sampingannya, kita boleh menghulurkan sedekah apabila ada kemampuan dan kemahuan untuk menghulurkan sesuatu kepada pihak yang memerlukan. Allah menganjurkan kita bersedekah, tidak kira lah apa bentuknya sekalipun, berapa jumlahnya dan dalam keadaan bagaimana sekalipun. Hanya KEIKHLASAN dan KETAKWAAN yang dinilai oleh Allah. Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (iaitu) orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang-orang yang bebuat kebaikan.” (03:133-134)

Firman Allah ini menjelaskan kepada kita bahawa mulianya orang yang bersedekah sama ada dalam keadaan senang dan susah, sehingga mendapat darjat ketakwaan di sisi Allah. Kenapa Allah menganjurkan kita bersedekah dalam apa jua keadaan sekalipun?

Jawapannya, kerana manusia sering lupa. Apabila dalam kesenangan, khususnya kemewahan harta, bukan mudah untuk kita menghulurkan sedikit sumbangan kerana kita akan lebih cenderung untuk memanfaatkan harta itu untuk kepentingan sendiri. Sehingga lupa untuk berkongsi nikmat kemewahan itu bersama saudara-saudara kita yang lain. Apatah lagi dalam kesusahan, pastinya kita rasa keberatan untuk bersedekah. Lantaran itu lah Allah menggalakkan kita bersedekah sama ada dalam kesenangan ataupun kesusahan. Tambahan pula, harta itu hanya lah pinjaman dariNya.

Amalan sedekah boleh diibaratkan sebagai dahan pokok yang dicantas, contohnya pokok bunga kertas. Tujuan mencantas pokok itu adalah untuk membuang sisa dahan yang sudah buruk dan menghasilkan dahan yang baru serta bunga yang lebih segar lagi cantik. Begitu juga amalan sedekah, kita mengorbankan sedikit daripada jumlah kewangan kita untuk mendapat ganjaran dari Allah, yang pastinya ganjaran yang berganda-ganda.

Kesimpulan

            Harta yang kita miliki sekarang hanyalah hak mutlak Allah yang dipinjamkan kepada kita. Milik Allah itu adalah hak seluruh makhlukNya. Allah menilai bagaimana kita menguruskan harta itu dengan sebaiknya. Justeru, kongsilah ia bersama saudara-saudara kita seikhlasnya. Yakinlah di sana nanti, ada tempat yang terbaik buat kita.

2 comments:

  1. salam ziarah...thanks for sharing my dear.
    smoga ia bmnfaat bt pmbce blog anda..! :-)

    ReplyDelete
  2. wkmslm.. thanks coz sudi ziarah.. saje, tiba2 rse nk try buat artikel. sbb ada tugasan je, rajin nk buat ni.. hihi

    ReplyDelete